Makam Sultan Iskandar Shah di Bukit Chandan.
Manaqib beliau :
Sultan Iskandar Shah ( 1876 – 1938 )
Nama lengkap baginda ialah Sultan Alang Iskandar Shah Ibni Sultan Idris Murshidul Azzam Shah I Rahmatullah dan baginda diputerakan pada tanggal 10 Mei 1876 di Kampung Kuala Keboi, Kampar. Baginda dimasyurkan sebagai Sultan Perak yang ke 30 bagi menggantikan kekanda tiri baginda iaitu Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah. Ayahnya Sultan Idris Shah juga merupakan seorang Sultan yang berjiwa ulama'. Banyak jasa beliau terhadap perkembangan Islam di Perak dan diantaranya ialah dengan terdirinya Madrasah Idrisiah di Bukit Chandan.
Sultan Iskandar mendapat pendidikan mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Central, Taiping. Baginda juga mempelajari ilmu agama secara bertalaqqi dengan Syeikh Muhammad Saleh al-Minankabawi yang kemudiannya dilantik menjadi Syeikhul Islam Perak Pertama. Baginda kemudiannya melanjutkan pengajian ke Balliol College, Oxford, England pada tahun 1896. Pada tahun 1902, baginda Sultan Iskandar Shah pulang ke Negeri Perak mengikut ayahandanya yang selesai mengadakan lawatan di England. Selain Syeikhul Islam Syeikh Muhammad Saleh al-Minankabawi, baginda Sultan juga turut berguru dengan beberapa tokoh ulama’ tempatan iaitu :
1. Syeikh Haji Wan Muhammad Merbol - Mufti pertama Negeri Perak sekaligus sebagai penasihat dan guru diraja
2. Syeikh Nawawi Janggut Merah
Tuanku Sultan turut dikenali sebagai seorang raja yang alim. Baginda pernah berkata kepada rakyatnya bahawa celakalah seseorang lelaki itu jika tidak menghadiri Solat Jumaat tanpa sebab. Baginda turut melantik seorang ulama’ yang bernama Syeikh Muhammad Saleh al-Minankabawi sebagai Syeikhul Islam Perak yang pertama untuk menjalankan kerja-kerja tabligh di Teluk Intan. Baginda Sultan Iskandar Shah sendiri selalu melawat dan memberi titah ucapan mengenai agama Islam kepada rakyat di seluruh Negeri Perak.
Diceritakan sebuah kisah dimana Sultan Iskandar Shah menguji beberapa ulama’ Negeri Perak dalam istananya.
Kisah ini berlaku dalam bulan Ramadan. Pada waktu itu, Sultan Iskandar Shah telah menjemput ramai ulama’ terkenal dari seluruh negeri Perak untuk berbuka puasa di Istananya Bukit Chandan. Maka, ramailah alim ulama’ pemikir agama yang datang untuk menerima undangan daripada Sultan Perak yang dihormati.
Dalam keadaan gembira menunggu masa berbuka puasa sebelum maghrib tiba, makanan siap terus dihidangkan. Ramai tetamu yang diundang rasa hairan kerana makanan dihidangkan terlalu awal namun mungkin ianya adalah persediaan biasa.
Akan tetapi apa yang berlaku pada waktu itu adalah Sultan Iskandar Shah dikatakan telah mengarah semua yang hadir untuk mula menjamah makan walaupun azan Maghrib lambat lagi berkumandang. Ramai hadirin terkejut dengan titah daripada Sultan Perak tersebut namun meraka semua senyap. Dengan tiba-tiba bangun guru agama baginda Sultan lalu berkata “Kalau tuanku hendak masuk neraka, masuklah seorang”. Guru agama tersebut ialah Syeikh Nawawi Bin Haji Mohd Tahir atau lebih mashyur dengan panggilan Syeikh Nawawi Janggut Merah.
Terus tergaman semua tetamu melihat guru agama tersebut berkata sedemikian kepada Sultan Perak selaku ketua agama Islam. Yang sebenarnya, sememangnya niat Sultan Iskandar Shah pada waktu itu hanya untuk menguji pada ulama’ yang hadir.
Baginda Sultan Iskandar Shah terus memuji keberanian Syeikh Nawawi yang berani menegur Sultan dan baginda terus memarahi para ilmuan lain yang membisu seribu bahasa dan berkata Sultan Iskandar Shah dengan nada mengeluh, “Nasib baiklah di negeri Perak ini masih ada orang yang berani menegur beta”.
Sultan Iskandar Shah mangkat pada 14 Ogos 1938 dan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Baginda bergelar Marhum Kaddasullah.
Moga Allah Taala merahmati roh baginda Sultan. Amin
*Sumber - https://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Iskandar_Shah_ibni_alMarhum_Sultan_Idris_Murshidul_Azzam_Shah#Mangkat
#ZiarahMakam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan