Manaqib baginda :
Nama penuh baginda sultan ialah Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah Ibni Raja Bendahara Alang Iskandar Ibni Raja Kecil Tengah Ahmad Ibni Sultan Abdul Malik Mansur Shah dan baginda diputerakan di Kuala Keboi, Kampar, Perak pada tanggal 19 Jun 1849. Baginda merupakan anak ketiga kepada Raja Bendahara Alang Iskandar (Marhum Teja) dan bergelar Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah setelah ditabalkan menjadi Sultan Perak Ke-28 pada tahun 1887. Baginda memerintah Kerajaan Perak selama 29 tahun.
Sultan Idris tidak pernah ke sekolah formal ketika itu namun mempelajari menulis dan membaca Jawi, al-Quran serta pengajian agama Islam semasa di Kuala Keboi. Baginda juga pernah berguru dengan beberapa ulama' terkenal di Nusantara iaitu :
1. Tuan Guru Lebai Said Minangkabau
2. Saiyid Abdullah Abu Bakar al-Attas - Qadhi Besar Perak
3. Syeikh Tahir Jalaluddin al-Azhari al-Falaki
4. Syeikhul Islam Syeikh Muhammad Saleh al-Minankabawi
5. Syeikh Wan Muhammad Merbol - Mufti Perak Pertama
6. Syeikh Nawawi Janggut Merah - Guru muda baginda
Baginda juga mempelajari bahasa Inggeris dengan bimbingan Pegawai Tadbir Kuala Kangsar, D.H. Wise dan pada tahun 1887 baginda mendapatkan khidmat Mr. Homes sebagai Tutor Bahasa Inggeris.
Sultan Idris banyak menyumbang ke arah dalam bidang Pendidikan, Agama dan Kebajikan. Sumbangan buah fikiran baginda Sultan jelas dalam Persidangan Raja-Raja Melayu (DURBAR). Keberanian Sultan Idris terserlah apabila baginda menyuarakan dan menggesa pihak British agar lebih ramai orang Melayu dilantik untuk berkhidmat dengan kerajaan dan menjawat jawatan yang lebih tinggi pada Persidangan Raja-Raja Melayu (DURBAR) kedua yang telah diadakan pada tahun 1903 di Kuala Lumpur.
Baginda telah dilantik menjadi Hakim dan mengetuai sebuah rombongan perwakilan yang membawa surat daripada Sultan Abdullah Muhammad Shah II kepada Gabenor Sir Andrew Clarke. Di samping itu, baginda turut menjadi hakim dalam perbicaraan Seputum, Che Gondah dan Ngah Ahmad di Bandar Baharu yang telah didakwa oleh British atas Pembunuhan Residen J.W.W Birch di Perak.
Pada tahun 1878, baginda Sultan pulang ke Negeri Perak dari Singapura bagi membantu Raja Muda Perak Raja Yusof. Pada waktu itu, Sultan Idris dilantik menjadi Raja Bendahara Perak dan sekaligus sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negeri.
Raja Muda Yusuf ditabal menjadi Sultan Perak Ke-27 pada tahun 1886, dan baginda Sultan Yusof cuma sempat memerintah kerajaan selama setahun sahaja kerana mangkat pada tahun 1887. Oleh itu, Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah ditabalkan menjadi Sultan Perak Ke-28 ketika berusia 38 tahun dan baginda bersemayam di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Menurut cerita, nama gelaran Bukit Chandan ialah "Seri Andalan”, tetapi akhirnya Sultan Idris memilih nama Bukit Chandan sempena nama seekor gajah Sultan Yusof yang bernama Kulup Chandan. Dikisahkan, pada suatu hari Kulup Chandan terlepas lari, dan Sultan Idris yang ketika itu menjadi Raja Muda telah mengekorinya sehingga sampai di kaki Gunung Babu.
Setibanya di sana, Sultan Idris bertemu dengan seorang tua yang berjanggut serta memakai jubah putih. Orang tua itu terus menghampiri baginda dan menyatakan bahawa baginda akan menaiki takhta kerajaan Negeri Perak, dan apabila ditabalkan kelak baginda hendaklah membina istana di atas bukit berhampiran Batang Hari dan bukan di Sayong. Kulup Chandan hendaklah dibebaskan selepas tujuh hari baginda ditabalkan.
Baginda akhirnya mangkat pada 14 Januari 1916 dan dimakamkan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin
#KenaliUlamak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan