Rabu, 4 Januari 2023

Sirah umrah Helmi Assyafie.







 Dar al-Nadwah adalah antara lokasi utama bagi para pembesar Quraysh dalam membuat keputusan-keputusan yang besar. Bahkan keputusan untuk membunuh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam juga telah diputuskan di Dar al-Nadwah. 


Ketika Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam berusia 20 tahun, Baginda telah menyertai peperangan al-Fijar yang berlaku di Suq 'Ukkaz. Selepas peperangan tersebut terjadi, pada tahun yang sama Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam telah menghadiri satu kesepakatan sesama qabilah Arab yang bersetia untuk membela golongan yang dizalimi. Perjanjian yang dikenali dengan nama Perjanjian al-Fudhul ini telah berlaku di Dar al-Nadwah. 


Sekalipun bangunan Dar al-Nadwah sudah tidak ada lagi pada hari ini, para ahli sejarah menyatakan bahawa Dar al-Nadwah terletak di menara Bab al-Ziyadah. Walau bagaimanapun menara Bab al-Ziyadah juga telah dirobohkan dan sudah tiada kesannya pada hari ini.


Gambar di bawah adalah lokasi yang berkemungkinan adalah lokasi kedudukan asal Dar al-Nadwah setelah dibuat penelitian peta lama bagi al-Masjid al-Haram.



Telaga al-Hudaybiyah yang menjadi sumber minuman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan jua para sahabat dalam umrah al-Hudaybiyah pada Dzu al-Qa'dah tahun 6 Hijriyyah.


Lokasi Telaga al-Hudaybiyah:


https://maps.app.goo.gl/V4CjtXC2gn6u9Ntm6


Kedudukan khemah Rasulullah ketika perjanjian Hudaybiyah:


https://maps.app.goo.gl/CrLE9P8eka4Y5xXJ7?g_st=ic


#dalam_dirimu_ada_rasulullah




9 Zulhijjah tahun sepuluh hijriyyah. 

Kawasan bertanda bulat ini yang berada di bawah kaki bukit Rohmah adalah kawasan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam berdoa di Arafah selepas Baginda menyampaikan khutbah di Masjid Namirah. Baginda terus berdoa di sini sehinggalah matahari terbenam.

Lokasi lebih kurangnya:
https://maps.app.goo.gl/uax3w1GWfYnmzcwk6

#Dalam_Dirimu_Ada_Rasulullah



Masjid Al-Ji’ronah


Masjid ini sangat berkait rapat dengan perang Hunayn yang berlaku pada 13 Syawal tahun 8 Hijriyyah. Apabila Allah Taala memberikan kemenangan yang besar kepada kaum muslimin, harta rampasan perang yang begitu banyak telah dibawa oleh kaum muslimin dari medan Hunayn ke al-Ji’ronah untuk disimpan sementara di Ji’ronah. Rasulullah Sallallahu ‘Alayhi Wa Alihi Wasallam telah melantik Sayyidina Mas’ud bin ‘Amr al-Ghifariyy untuk menjaga harta-harta rampasan tersebut.


Seterusnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam dan para sahabat Baginda telah bergerak ke Taif untuk memerangi saki-baki tentera musuh yang lari dari Hunayn ke Taif namun Allah mentakdirkan kaum Muslimin tidak berjaya menawan kota Taif. Seterusnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam dan para tentera Islam telah pulang dari Taif ke al-Ji’ronah dalam keadaan Baginda memohon kepada Allah agar Allah memberikan hidayah kepada orang-orang Taif.


Masjid al-Ji’ronah pada hari ini adalah lokasi khemah Rasulullah Sallallahu Alayhi Wa Alihi Wasallam dan lokasi Baginda berihram umrah semasa baginda tiba di al-Ji’ronah daripada peperangan Taif.


Lokasi Masjid Al-Ji’ronah:


https://maps.app.goo.gl/4y1NCNonQrV8FwCc9?g_st=ic


Lokasi Telaga Al-Ji'ronah:


https://maps.app.goo.gl/AhSGsTA2huzXfdq48


#dalam_dirimu_ada_rasulullah


Telaga Zamzam adalah telaga yang mulia yang menjadi bukti kebesaran Allah Taala. 


Telaga ini adalah berada setentang dengan al-Hajar al-Aswad dengan jarak 21 meter sari batu mulia itu dan dalam masa yang sama telaga Zamzam berada di sebelah kiri pintu Bani Syahbah yang satu ketika dahulu berada di hadapan Maqom Nabi Allah Ibrohim.


Berikut adalah anggaran lokasi sebenar telaga Zamzam:


Kedudukan Telaga Zamzam secara anggaran


Kedudukan Telaga Zamzam secara anggaran


https://maps.app.goo.gl/ySmPzHavdR2SK9Jh7?g_st=iw


Kelihatan kubah al-Imam al-Syafi'iyy (kubah yang paling tinggi) yang terletak di dalamnya telaga Zamzam. Kubah ini sebenarnya setentang dengan Pintu Bani Syaybah manakala pintu ini pula berada di belakang Maqom Nabi Ibrohim yang dahulunya berkubah kecil. Gambar ini diambil dari arah Hijr Sayyidina Isma'il.


#dalam_dirimu_ada_rasulullah




Lokasi rumah Sayyidina al-Arqom bin Abu al-Arqom yang berada di bawah kaki bukit al-Sofa. Kawasan ini adalah begitu istimewa kerana menjadi lokasi perhimpunan para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam bersama dengan Baginda pada zaman awal penyebaran agama Islam. Bahkan Sayyidina Umar bin al-Khottob telah memeluk agama Islam di dalam rumah ini.


Kedudukan rumah Sayyidina al-Arqom secara anggaran:


Kedudukan rumah Sayyidina al-Arqom secara anggaran:


https://maps.app.goo.gl/FwAdyAeXwXTDkLEL8?g_st=iw


#dalam_dirimu_ada_rasulullah





Telaga Dzi Arwan (ذي أروان) atau telaga Dzarwan (ذروان) adalah telaga yang menjadi lokasi sihir yang dilakukan oleh Labid yang merupakan seorang munafiq berbangsa Yahudi. Dia telah disuruh oleh orang Yahudi untuk menyihir Rasulullah Sallallahu Alayhi Wa Alihi Wasallam sehingga Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam akhirnya merasa lemah tubuh badan. 


Namun akhirnya Allah mewahyukan kepada Baginda melalui perantaraan mimpi perihal tindakan jahat Labid lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam telah datang ke telaga ini bersama-sama para sahabat Baginda lalu Baginda telah mengarahkan agar airnya dicedok bagi mengeluarkan barang sihir yang telah diletakkan oleh Labid di dalam telaga ini. Seterusnya setelah barangvsihir itu dikeluarkan, Rasulullah Sallallahu Alayhi Wa Alihi Wasallam telah menyuruh untuk telaga ini dikambus. 


Pada hari ini lokasi telaga ini berada berhampiran dengan pintu bernombor 364 berhadapan dengan perkuburan al-Baqi'.


Lokasi telaga Dzi Arwan secara anggaran adalah seperti berikut:


https://maps.app.goo.gl/yAVkp17DNkUJBhUQA?g_st=iw


#dalam_dirimu_ada_rasulullah



Lokasi Rasulullah Sallallahu Alayhi Wa Alihi Wasallam jatuh dan patah gigi semasa perang Uhud setelah diserang dengan begitu menggila oleh tentera musyrikin.

فداك ابي وامي يا رسول الله


https://goo.gl/maps/bgga3DjREE4SvGd66


#dalam_dirimu_ada_rasulullah





Selain maqam syuhada Uhud yang diketahui ramai, ada juga para syuhada Uhud yang dikebumikan di satu perkuburan lain yang berdekatan dengan maqam syuhada yang dikenali. Ada juga para syuhada Uhud yang dibawa pulang lalu dikebumikan di perkuburan al-Baqi’.


Lokasi permakaman kedua sebahagian para syuhada Uhud:


https://maps.app.goo.gl/Br2CMh7C6FVm3GLE6?g_st=iw


#dalam_dirimu_ada_rasulullah





Masjid Dhiror adalah satu masjid yang dibina oleh golongan munafiq dengan tujuan mahu memurtadkan umat Islam. Mereka pernah meminta agar Rasulullah Sallallahu Alayhi Wa Alihi Wasallam solat di dalam masjid tersebut dengan harapan ini akan menarik hati para sahabat untuk datang melakukan solat di dalam masjid itu lalu jarum jahat mereka dapat disuntik ke dalam hati sanubari umat Islam.


Namun Allah telah memaklumkan kepada Rasulullah Sallallahu Alayhi Wa Alihi Wasallam akan rencana jahat mereka lalu Baginda telah mengarahkan para sahabat untuk membakar masjid  itu. Baginda seterusnya telah menjadikan lokasi masjid itu sebagai tempat pembuangan sampah.


Pada hari ini lokasi masjid Dhiror adalah berhampiran dengan lokasi masjid Quba seperti berikut:


https://maps.app.goo.gl/1fySuHZoPhQLPEgp6?g_st=iw


#dalam_dirimu_ada_rasulullah


Dua lubang yang dibuat di atas kubah Masjid Quba sebenarnya adalah sebagai penanda lokasi Rasulullah Sallallahu Alayhi Wa Alihi Wasallam mendirikan solat apabila Baginda berada di dalam Masjid Quba saban Sabtu.


Maka bagi jemaah lelaki yang berkesempatan, dongakkanlah kepala di atas kubah lalu dirikanlah solat di lokasi yang berada di antara dua lubang ini agar kita dapat melaksanakan dolat di tempat solat Rasulullah Sallallahu Alayhi Wa Alihi Wasallam.


#dalam_dirimu_ada_rasulullah



Lokasi yang berada di dalam Masjid Quba ini dipercayai sebagai tempat Rasulullah Sallallahu Alayhi Wa Alihi Wasallam akan menambat unta Baginda apabila Baginda mahu melaksanakan solat di Masjid Quba. Pada hari ini, kawasan tambatan unta Rasulullah Sallallahu Alayhi Wa Alihi Wasallam ini sudah berada di dalam kawasan masjid Quba bagi jemaah lelaki.


#dalam_dirimu_ada_rasulullah



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Haul Pak Su Mid kali ke 2