Ahad, 26 Julai 2020

Habib Abu Bakar bin Salim


BIOGRAFI RINGKAS SYEIKH ABU BAKAR BIN SALIM, KOTA INAT

Bersempena Majlis Haul beliau yang diadakan tidak lama, berikut sedikit catatan ringkas biografi beliau

NASAB KETURUNAN

Syeikh Abu Bakar Bin Salim Bin Abdullah Bin Abd Rahman Bin Abdullah Bin Imam Abd Rahman As Segaf Bin Muhammad Mauladdawilah Bin Ali Bin Alwi al Ghuyur Bin Imam Faqih Muqaddam Muhamad

KELAHIRAN

Beliau dilahirkan di Kota Tarim pada hari Sabtu 13 Jamadil Akhir tahun 919H. Beliau dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh kedua orang tuanya disamping menerima pelbagai hidangan ilmu zahir dan batin yang diberikan oleh para alim ulamak ketika itu.

Ibunya bernama Sayyidah Syarifah Talhah Binti Aqil Bin Ahmad Bin Abu Bakar As Sakran Bin Imam Abd Rahman Assegaf. Pada permulaan usianya, beliau banyak diberi pentarbiyahan dan dididik oleh ayahnya sendiri iaitu Syeikh Salim sekitar 25 tahun sebelum kewafatan ayahnya.

ISYARAT KELAHIRAN

Ramai daripada para alim ulamak memberi isyarat kepada Syeikh Abu Bakar Ben Salim beberapa tahun sebelum beliau dilahirkan. Antaranya,

Syeikh Abdullah Bin Imam Abd Rahman Assegaf suatu masa duduk dihadapan ayahnya bersama -  sama saudaranya yang lain. Terlintas di hati beliau akan ketinggian maqam (tingkatan sufi) saudara – saudaranya yang lain berbanding dirinya seperti Syeikh Abu Bakar Sakran dan Imam Umar al Muhdhor.

Tiba - tiba ayahnya menyingkap apa yang bermain didalam fikiran dan kata - kata hatinya dengan berkata “Sesungguhnya kamu akan terkenal dan masyur denganketurunanmu nanti kelak”

Hal ini diisyaratkan kepada Syeikh Abu Bakar Bin Salim yang merupakan generasi yang keempat daripada zuriatnya Syeikh Abdullah Bin Imam Abd Rahman Assegaf.

Terdapat juga kisah seorang yang alim iaitu al Habib Ahmad Bin Alawi al Majzub Bin Abd Rahman Assegaf yang pernah memuji Syeikh Abu Bakar Bin Salim sebelum kelahirannya. Saat itu al Habib Ahmad ke Kota Inat dari arah Barat dan Kota tersebeut masih belum ramai penghuni serta masih banyak pokok – pokok dan batu – batu yang besar.

Kemudian beliau berkata “Akan lahir seorang anak lelaki yang kemudiannya akan memiliki pelbagai keistimewaan dan mempunyai kedudukan yang tinggi disisi Allah. Beliau akan tinggal disini dan ditempat ini ialah masjidnya…, dan beliau akan solat ditempat ini, (sambil memberi isyarat dengan jarinya)”

KEHIDUPAN DAN PENDIDIKANNYA

Antara guru utama beliau ialah Imam Umar Bin Muhammad Bin Ahmad Ba Syaiban pengarang Kitab Tiryaq, Syeikh Al Kabir Ma’ruf Bin Abdullah Ba Jamal, Syeikh Omar Bin Abdullah Bamakromah yang beliau sempat membacakan Kitab Risalah Qusyairiyah.

Syeikh Omar Bamakromah tidak akan mengajar seseorang melainkan beliau sudah mengetahui persiapan dan persediaan yang sebenarnya ada didalam diri mereka.

Beliau pertama kali mula membaca Al Quran dan berusaha untuk memahami kalimah dan makna didalam Al Quran tetapi mengalami masalah kesukaran dan kesulitan untuk menghafal Al Quran. Kemudian, Syeikh Salim (Ayah Syeikh Abu Bakar) mengadukan hal ini kepada Imam Syihabuddin Ahmad Bin Abd Rahman Bin Ali akan masalah ini. Maka, dengan penuh keyakinan Imam Ahmad berkata

 “Biarkan sahaja anak itu dan jangan memaksanya kerana suatu masa dia akan menghafalnya dengan sendiri dan akan memiliki sesuatu yang istimewa.”

Setelah beberapa waktu, perkataan Imam Ahmad tadi menjadi kenyataan kerana Syeikh Abu Bakar Bin Salim mampu menghafal 30 juzuk Al Quran hanya mengambil masa selama 4 bulan sahaja.

Bahkan beliau  membaca kitab Ihya’ Ulumiddin secara tahqiq sebanyak 40 kali dan membaca kitab Minhaj Imam Nawawi sebanyak 3 kali sehingga sepanjang hidupnya hanya mengajar pelajaran Fiqh dengan Kitab Minhaj sahaja. Manakala Kitab Risalah Qusyairiyah beliau membaca dengan Syeikh Umar Bin Abdullah Ba Makhromah.

PARA GURU

1. Al Imam Syihabuddin Ahmad Bin Abd Rahman Bin Syeikh Ali Bin Syeikh Abu Bakar As Sakran (orang pertama yang dinisbahkan kepada keluarga Syihabuddin atau Ben Syihab.

2. Al Allamah Al Habib Ahmad Bin Alawi Ba Jahdab yang merupakan antara guru kerohanian utamanya.

3. Al Allamah Al Faqih Syeikh Abdullah Bin Muhammad Hakam Sahl Ba Qusyair. Beliau mempelajari kitab Minhaj Imam Nawawi dan membacanya sebanyak 3 kali secara tahqiq.

4. Al Allamah Al Qadhi Habib Ahmad Syarif Bin Alwi al Khered.

5. Al Allamah Al Faqih Syeikh Umar Bin Abdullah Ba Makhromah. Beliau belajar kitab tasawwuf khususnya kitab Risalah Qusyairiyah.

6. Al Allamah al Habib Umar Bin Muhammad Bin Ahamd Bin Abi Bakar Basyaiban.

7. Syeikh Maaruf Bin Isa Ba Jammal Asy Syibami.

HUBUNGAN SYEIKH ABU BAKAR BIN SALIM DENGAN GURUNYA

Hubungan Syeikh Abu Bakar Bin Salim dengan gurunya Syeikh Maaruf Bajammal sangat dekat dan erat.

Bahkan hampir tiap perkataan Syeikh Abu Bakar sering memuji dan menyebutkan nama gurunya itu. Pernah pada suatu masa isterinya ingin melahirkan anak, namun terdapat kesulitan untuk melahirkan pada waktu itu. Sudah banyak nama - nama para ulamak dan wali disebutkan dan bertawassul untuk dipermudahkan tetapi masih sulit untuk melahirkan anak. Akhirnya, Syeikh Abu Bakar meminta isterinya bertawassul dengan nanam Syeikh Maaruf Bajammal dan akhirnya dalam beberapa minit terus dapat melahirkan seorang anak.

Pernah suatu masa tatkala waktu menziarahi Nabi Allah Hud a.s.  Salah seorang anak murid Syeikh Maaruf Bajammal yang bernama Syeikh Ahmad Bin Umar Ba Ziyad meminta izin kepada gurunya untuk menghadiri acara Ziarah Nabi Allah Hud a.s. yang merupakan acara tahunan. Maka Syeikh Maaruf Bajammal berkata dan meminta beliau untuk menyampaikan amanah ini

 “Wahai Ahmad, sampaikanlah salamku kepada Syeikh Abu Bakar dan katakanlah padanya bahawa tidak ada seorang pun yang melebihi maqam dan kedudukannya di zaman ini”

Maka, Ahmad pon bergegas berangkat menuju ke maqam Nabi Allah Hud a.s. untuk berjumpa dengan Syeikh Abu Bakar. Setelah sampai di sana beliau pun menemukan Syeikh Abu Bakar dan tiba – tiba Syeikh Abu Bakar berkata sebelum beliau sempat menyampaikan berita daripada gurunya

“ Wahai Ahmad, Demi Allah Syeikh Maaruf yang baru tadi engkau sebutkan dan berjumpa dengannya baru sebentar tad bersama denganku.” Terkejut Ahmad mendengar ucapan itu dan terlupa untuk menyampaikan pesanan daripada gurunya. Ketika dimalam hari datanglah Syeikh Abu Bakar kepada Ahmad dan berkata “ Wahai Ahmad… sampaikanlah wasiat daripada Syeikh Maaruf kepadaku” lalu terus Ahmad menyampaikan pesanan dan wasiat tersebut.

HIJRAH KE KOTA INAT

Syeikh Abu Bakar Bin Salim pada usia mudanya banyak menghabiskan waktu di Kota Lissik (kawasan maqamnya Abbad Bin Bisyir al Ansori r.a.)

Pada tahun 946 Hijrah, beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kota Inat pada usianya sekitar 27 tahun. Beliau berhijrah kerana ingin mengembangkan dakwah dan menjadikan kota tersebut makmur dengan amal ibadah dan mengibarkan panji agama Islam.

Beliau mengasaskan majlis mingguan pada Hari Rabu yang dinamakan Dars Al Arbia’ (Pengajian Hari Rabu) dan setelah Subuh setiap hari terbuka kepada orang awam dan turut dihadiri anak – anaknya.

AMAL IBADAH DAN MUJAHADAHNYA

1. Beliau sentiasa mengasingkan diri daripada manusia dengan berzikir dan menempuh jalan mujahadah yang tinggi.

2. Pada siangnya beliau pernah berpuasa selama 90 hari dan hanya berbuka dengan buah kurma yang diambil dari kebun ayahnya di kawasan Lisik serta menghidupkan malam dengan amal ibadah.

3. Beliau menunaikan Solat Subuh dengan wudhu’ daripada Solat Isyak selama 40 Tahun.

4. Beliau berjalan kaki ke Kota Tarim dari Kota I’nat pada setiap malam untuk menziarahi Maqam Zanbal, menunaikan solat di masjid - masjid, dan mengisi air pada jabiyah serta bekas khas yang disediakan ditepi jalan untuk kegunaan orang ramai selama 40 Tahun.

5. Beliau tidak pernah duduk didalam majlis atau pengajian ilmu melainkan dengan duduk secara tawarruk (duduk tahiyat akhir) selama 15 Tahun.

6. Pada akhir usianya beliau tidak pernah meninggalkan Solat Dhuha sebanyak 8 Rakaat dan Solat Witir sebanyak 11 Rakaat.

Kota I’nat  yang dibuka dan diduduki oleh qabilah Al Kathiri pada 629H tidak begitu dikenali dan masyur dikalangan para masyarakat dan orang luar pada mulanya sehinggalah Syeikh Abu Bakar Bin Salim datang dan mendiami kota tersebut sehingga melimpahkan keturunan dan pusat ilmu yang didatangi oleh segenap masyarakat pada zamannya.

KISAH DAN KEMURAHANNYA

1. Setiap kali dikunjungi tetamu beliau akan menyembelih seekor atau dua ekor unta untuk dihidangkan kepada mereka.

2. Setiap hari beliau akan menyedekahkan 1000 keping roti kepada orang ramai.

3. Beliau merupakan salah seorang daripada kalangan Ulamak Sadah Ba’alawi yang suka membicarakan ilmu hakikat serta kalam yang tinggi.

4. Semasa hidupnya sebanyak 40 kali menziarahi kubur Nabi Allah Hud A.S. Bahkan menurut al Habib Ahmad Bin Hasan al Attas, Syeikh Abu Bakar Bin Salim pernah 70 kali menziarahi maqam Nabi Allah Hud A.S. walaupun pada akhir hidupnya diusung oleh orang ramai untuk ziarah ke sana.

MURID-MURIDNYA

Syeikh Abu Bakar Bin Salim mempunya ramai anak murid bukan sahaja di Hadhramaut bahkan segenap negeri di Yaman datang menuntut ilmu dengan beliau. Ada juga antara anak muridnya datang jauh dati negara luar semata - mata ingin mendapatkan pentarbiyahan daripada beliau. Antara anak muridnya ialah :

1. Anak – anaknya sendiri iaitu Imam Husien, Imam Umar al Muhdhor dan lain – lain.

2. Al Habib Ahmad Bin Muhammad Al Habsyi (Sohib Syi’ib) yang datang daripada Haramain Asy Syarifain (Makkah dan Madinah) dan menetap di Yaman untuk menimba ilmu. Beliau wafat di Husaiseh dibawah maqamnya Imam Muhajir Ahmad Bin Isa.

3. Al Habib Abd Rahman Bin Muhammad al Jufri (Maula Arsy) wafat di Taris, Hadhramaut.

4. Al Habib Abd Rahman Bin Ahmad al Bidh wafat di Kota Syihir.

5. Syeikh Hasan Bin Ahmad Ba Syu’aib wafat di Kota Wasithah. Beliau mendapat pujian khusus daripada Syeikh Abu Bakar Bin Salim yang mengatakan “engkau Hasan termasuk dalam bahagian kami seperti halnya Salman Al Farisi dimata Rasulullah.”

6. Syeikh Abdullah Bin Muhammad al Khatib Ba Roja’.

7. As Sayyid Yusuf Bin A’bid al Hasani al Fasi al Maghribi wafat di daerah Maryamah berdekatan Kota Seiyun.

Sayyid Yusuf Bin Abid mengkisahkan perjalanannya dari Maghribi sehinggalah ke Hadhramaut semata – mata ingin mencari guru Murobbi dan akhirnya bertemu Syeikh Abu Bakar Bin Salim. Kisah perjalanan dan pertemuannya akan dinukilkan didalam biografi ringkas beliau pada bab yang akan datang.

8. As Sayyid Umar Bin Isa Ba Raqwah As Samarqandi al Maghribi yang wafat di Kota Ghurfah.

9. Al Imam Jalaluddin al Mahalli pengarang kitab Syarah Jam’ul Jawami’. Beliau Jalaluddin Mahalli pernah sekali ke Hadramaut dan menziarahi Syeikh Abu Bakar Bin Salim untuk mendapatkan ilmu daripadanya.

10. Al Habib Toha Bin Umar As Segaf wafat di Seiyun. Beliau merupakan pengasas kepada Masjid Toha di Seiyun berhampiran Maqam al Habib Ali Al Habsyi.

KEWAFATANNYA

Syeikh Abu Bakar Bin Salim wafat pada malam minggu 27 Zulhijjah tahun 992H di Kota I’nat dan disemadikan jasadnya di Kota I’nat serta dibina kubah khas pada maqamnya.

KARYA PENULISANNYA

1. Mi’rajul Arwah Ilal Manhajil Wadhdhah
2. Fathu Babil Mawahib
3. Bughyatu Matlabu Tholib
4. Ma’rijut Tauhid
5. Miftah As Saroir Wa Kanzu Dzakhair

Sumber Ustaz Irfan Bahtera Firady .
#BiografiUlamaHadhramaut

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Haul Pak Su Mid kali ke 2